KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Selepas mengehadkan masa latihan kerana berpuasa pada Ramadan, Sazali Abd Samad, Mr Universe sebanyak empat kali, kini kembali menggandakan latihan dalam usaha mempertahankan mahkotanya pada Kejohanan Mr Universe di Manama, Bahrain dari 2 hingga 7 Nov depan.
Sazali, 41, yang bertanding dalam kategori 70kg buat kali kedua di kejohanan Mr Universe berkata beliau kini memperuntukkan masa selama empat hingga lima jam sehari untuk memperkasakan kembali ototnya disamping mendapatkan berat badan ideal di sekitar 67-68 kg.
"Ketika Ramadan, saya menjalani latihan selama dua jam pada sebelah pagi, sekadar untuk mengekalkan bentuk otot. Berat badan saya ketika ini ialah sekitar 72 kg dan akan diturunkan kepada 67-68 kg sebelum kejohanan di Manama," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.
Sepanjang bulan puasa juga katanya beliau tidak dapat melakukan latihan terbaik kerana dibelenggu kecederaan di pergelangan tangan kiri.
"Itu kecederaan lama selepas lebih 20 tahun bergiat dalam sukan bina badan. Kini telah pulih sepenuhnya dan disahkan oleh doktor daripada Institut Sukan Negara," katanya.
Sazali berkata di sepanjang tahun ini, dia hanya berpeluang bertanding dalam dua kejohanan besar.
Pada Februari lepas, beliau muncul naib juara kategori lightweight 70 kg pada Kejohanan The Arnold Amateur IFBB International Bodybuilding, Fitness and Figure Championships di Ohio, Amerika Syarikat dan kejohanan keduanya bagi tahun ini ialah di Manama, pada Nov depan.
Kekurangan kejohanan katanya menyebabkan beliau terpaksa menggandakan latihan bagi mengekalkan ketajaman otot dan berat badan ideal.
Sazali mula muncul juara Mr Universe bagi kategori bantamweight 65kg bermula di Melaka pada tahun 2000, Moscow (2004) dan Ostrava (Republik Czech) (2006) sebelum beralih ke kategori lightweight 70kg pada awal 2007 dan merangkul gelaran Mr Universe kali keempatnya pada kejohanan di Jaeju, Korea Selatan pada Februari tahun ini.
Mengenai kemungkinan beralih ke kategori berat badan lebih tinggi, Sazali berkata pakar sains sukan yang ditemuinya menasihatkan beliau tidak bertanding dalam kategori berat badan yang lebih tinggi.
"Dengan ketinggian 165cm, pembesaran dan ketebalan otot ideal bagi saya hanya dalam kategori 70kg dan tidak lebih dari itu," katanya.
-- BERNAMA








Selama ini kita hanya mengenal Wong Fei Hung sebagai jagoan Kung fu dalam film Once Upon A Time in China . Dalam filem itu, karakter Wong Fei Hung dimainkan oleh aktor terkenal Hong Kong , Jet Li. Namun siapakah sebenarnya Wong Fei Hung?
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini yang rosak kerana dibaling bom api semalam bagi membolehkan pihak pentadbiran gereja membangunkan rumah ibadat itu di tempat lain. 











